Wednesday, December 26, 2012

Untitled

Pernah suatu ketika, aku rasakan tulisan di atas kertas itu, kata-kata dari buku itu, dan perkataan di skrin laptop itu semuanya mampu menjana kegembiraan aku. Ya, pernah suatu ketika. Bukan lagi sekarang. Kini aku lihat semua itu tidak lagi begitu bermakna seperti dulu. Semua itu hanyalah kata-kata, tulisan dan luahan manusia.

Benar, semua itu ilhamnya dari yang Maha Esa. Namun yang masih membelenggu fikiranku adalah, apa sangat dengan kata-kata manusia ini jika mampu memanipulasikan segala yang diluahkan tadi? Janji-janji semuanya manis saat sesuai dengan diri.

Saat dirasakan menyusahkan, manusia ini melepaskan saja. Mengabaikan sesuatu yang pada awalnya dikira sebagai sesuatu amanah yang telah diberikan oleh diri sendiri tatkala kata-kata itu terbit dari mulut. Bukan aku tidak lagi melihat semua itu. Ya, aku lihat, aku baca, dan aku analisis. Tetapi nikmatnya sudah tidak lagi sama. Ini bebelanku, hanyalah mukadimah sebenarnya.

Pernah sekali aku terbaca, setiap yang bermula, pasti berakhir. Bidayah (بداية) bermaksud permulaan, dan Nihayah (نهايات) bermaksud pengakhiran. Segalanya di bumi ini ada bidayah dan nihayahnya sendiri, jika ianya bermula, akan berakhir melainkan Allah S.W.T. pencipta alam kerana Allah S.W.T itu sifatnya Al-Qadim, tiada permulaan dan pengakhiran.

Kita boleh mulakan apa-apa sahaja, tetapi, jika takdirnya akan berakhir, dengan kuasa Allah S.W.T. pasti akan berakhir. Jadi jika ada sesuatu yang berakhir dalam hidup kita, janganlah persoalkan sehingga mempersoalkan kekuasaan yang Maha Esa. Sesungguhnya sudah dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran,

"Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan" - Ar-Rahman Ayat 26-27
"Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah." - Al Qasas Ayat 88

Jadi setiap yang berlaku yang kita kira sebagai dugaan seperti kematian, atau pengakhiran sesuatu, seharusnya diredhai oleh kita. Kita ambil pengajaran darinya dan terus menghadapi masa depan. Bagi apa-apa musibah yang kita terima, yakinlah dengan Allah, kerana terdapat hadith di mana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidaklah ada suatu musibah yang menimpa seorang muslim melainkan Allah akan menghapuskan dosa dengannya walaupun duri yang menusuk badannya.”  - Imam al-Bukhari dan Muslim

 Kemampuan kita untuk menghadapi segala dugaan yang maha Esa juga telah dijanjikan oleh Allah S.W.T yang bersifat as-Sidiq dalam surah Al- Baqarah Ayat 286, "Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…".


Jadi sentiasalah berusaha dan yakin pada Allah. Sesungguhnya hanya padaNya kita mampu mengharap kepada.


Tuesday, July 17, 2012

Gadis yang merenung itu.


Kau nampak gadis itu yang sedang merenung jauh itu? Andai kata kau tanya dia tentang masalah yang dihadapinya sudah tentu dia akan berkata, "Tiada apa", tetapi pada realitinya, semuanya menjadi masalah kepadanya. Dia sedang duduk bingung memikirkan, apakah kesalahan yang dirinya telah melakukan? Jika ada peluang kedua, adakah perkara yang dilakukannya akan menjadi lain? Adakah dirinya akan mengubah takdir yang menimpa? Adakah penghujung ceritanya akan sama atau lain? Itulah sebabnya dia merenung.

Wednesday, June 27, 2012

Petang itu.




Tersedar aku dari tidur diiringi bunyi dentuman petir yang kuat diikuti dengan kilat sabung menyabung.

Mataku masih enggan terbuka sepenuhnya. Aku mengagahkan diri mengintip di luar jendela. Ternyata alam
menghembus udara nyaman beriringkan hujan. Namun hakikatnya, suram keadaannya.


Bila difikirkan semula, petang ini seolah olah memerli aku. Dapat kurasakan kehadiran cuacanya yang kelam mendampingi hatiku yang semakin sayu memikirkan hal duniawi.


"Ayat jiwang :)", balas seorang insan bernama Razura Samsuddin. Agaknya beliau memerhati kelibatku di laman coretan hatiku.


"Niatnya menceriakan hati berlara :)", balasku.


R (Razura): baguslahhh :) kenapa lara ni ? gaduh dgn bakal istri ehh ?


A (Diriku): di usia senja ini, kerap aku utarakan soalan dimana jawapannya tidak pernah hadir. :) kebingungan kerap mendukakan diri.


R: alalah~ jgn lah mcm tuhh. 1 hri nnti. semunya akn terjawap :) sekarang ni,semuanya msh lagi rhsiaa :)


A: seringkali rahsia alam sebegitu. Menunggu saat sesuai menghadirkan diri. InsyaAllah akan terjawab segala persoalan dalam diri.


R: insyaAllah,amin~ semoga yg terbaik itu milik kita semua. semoga dapat jodoh yg baik and cinta yg berkekalan smpai syurga. :)


Entah mengapa, tetapi aku rasakan dialog ini membuatkanku lebih bersemangat meneruskan perjuangan. Terima kasih saudari. :)


Saturday, June 23, 2012

Pengakhiran sesi kuliah.

Pagi itu, aku cukup resah.

Malam semalam aku tak mampu memberi konsentrasi terhadap buku contract di hadapanku. Mungkin kerana terlalu kekenyangan selepas menikmati juadah yang dihidangkan di Restoran Masakan Cina itu. Memikirkan tentangnya sahaja membuatkan perutku berkeroncong.

"Kau rehatlah dulu, esok pagi kau boleh mengulang kaji subjek itu", kata hatiku.

Lantas aku membenamkan mukaku ke bantal. Selepas beberapa minit mencari kedudukan di atas katil yang paling selesa, aku terlelap.

Pagi menjelma dengan memberi pengharapan kepada mereka yang inginkan kemajuan dalam hidup. Sesungguhnya semua diberi peluang untuk berjaya pada tiap-tiap hari. Tetapi hanya beberapa orang sahaja yang menyahut cabaran itu.

Aku ke kelas kuliah awal pagi itu. Aku duduk di belakang memerhatikan setiap gerak geri manusia bergelar mahasiswa yang memasuki ruang menuntut ilmu itu. Hari ini ada kuiz yang akan bakal berlangsung. Kata mereka 25 soalan objektif semuanya. Namun, aku tidaklah begitu tertarik dengan itu. Aku tertarik dengan kelas itu. Kerana inilah kelas terakhir untuk semester ini.

Apakah dihujung kelas ini akan ada berlakunya apa-apa perbincangan? Ataukah seperti kebiasaan kesemuanya akan beredar seperti manusia yang hanya peduli akan hal ehwal peribadi mereka sendiri?

"Masa telah tamat", kata Madam Nadia.

Bermula pula sesi menanda kertas jawapan.

"Kau dapat berapa?", "Sikit je, kau?", "Weyh, aku tak study la weh". Ayat-ayat standard yang keluar dari bibir-bibir mereka.

Keluar sahaja madam, bermacam karenah dapat dilihat. Ada yang terus bergegas keluar. Ada yang seperti tidak ketahuan untuk berbuat apa. Ada yang tidak berganjak langsung. Aku adalah yang di antara golongan terakhir itu, kerana aku sedang memerhati situasi ini. Aku tahu bagi sesetengah orang, kelas ini hanyalah persinggahan. Di antara rumah dan peperiksaan akhir nanti. Kelas ini ibarat mereka hanyalah sebuah jasad tidak bernyawa. Tiada makna di dalamnya. Aku terus memerhati, sehingga kelas itu kosong. Aku pun beredar.

Seperti sangkaanku, sememangnya tiada apa bezanya kelas terakhir dengan kelas pertama dahulu. Walaupun ada juga perbezaan bagi sesetengah orang, sebagai satu unit yang diberi nama LW213 1A, keakraban itu sah-sah kurang menyerlah. Tetapi itu hanyalah berdasarkan pemerhatian aku, ini pula bebelan aku. Mungkin pandanganmu berbeza? Aku tak tahu. Yang penting, aku rasakan ini, aku luahkan ini. Penerimaan, itu hak masing-masing.


Thursday, June 21, 2012

Sayang.

Aku cuba elak dari fikir akan dirimu.
Bukan kerana tidak mahu meneruskan perhubungan ini.
Bukan kerana engkau tiada memberikan impak pada diriku.
Bukan kerana hati ini dimiliki orang lain.

Tetapi,

Kerana aku sayang kamu.
Kerana aku tak mahu bersedih dengan ketiadaanmu.
Kerana aku rindukanmu.