Friday, April 1, 2011

Dimaafkan Namun Tidak Dilupakan

Aku punyai masalah.

Tetapi siapa diantara kamu yang tidak mempunyai masalah? Setiap manusia yang berjalan diatas muka bumi ini pasti pernah menghadapi masalah. Kecil atau besar. Itu persoalan lain. Tetapi hari ini aku ingin ketengahkan satu dilemma yang bermain di kepalaku. Tentang kemaafan.

Aku sering membuat salah. Itu benar. Tiada gunanya untuk menafikan perkara sebegitu. Namun, aku sedar, bila salahku itu pada insan yang lain, pasti aku akan meminta maaf. Tetapi aku jadikan satu syarat untukku meminta maaf. Aku harus menyesal akan perbuatan aku itu. Kerana dengan kesesalan itulah yang akan membuatku menghindari kesalahan aku yang terdahulu. Kerana dengan adanya perasaan kesal akan tindakanku yang bodoh akan menyebabkan aku lebih sensitif terhadap melakukan sesuatu di masa hadapan.

Dilemmanya hadir di sini. Kerana aku menjadikan penyesalan itu satu syarat untuk meminta pengampunan dari seseorang, adakah ianya memberi aku hak untuk memaafkan orang hanya jika penyesalan wujud? Kerana tanpa penyesalan ini, sudah tentu si dia tidak akan mempelajari apa-apa dari kesilapannya yang dahulu. Kemungkinan besar dia akan terus melakukan kesalahan itu lagi. Jadi? Bagaimana?



Dalam Islam kita diajar untuk memaafkan kesilapan orang lain. Aku faham itu. Pasti kata-kata ini keluar dari minda para pembaca, "Sedangkan Nabi maafkan umat". Aku tahu, Rasulullah S.A.W mudah memaafkan. Baginda juga menyuruh para sahabatnya dan umatnya untuk sentiasa memaafkan sesama sendiri.

Baiklah, sesampainya aku ke perenggan ini. Aku kini akur, bahawa kita sebagai manusia yang lemah haruslah memaafkan sesiapa saja yang melakukan kesalahan kepada kita. Bukan bermaksud aku melupakan apa yang dilakukan oleh orang yang bersalah. Tidak. Aku ingat. Namun tidak baik berdendam. Aku bukannya malaikat. Bebas dari melakukan dosa. Aku juga berbuat salah. Jadi siapakah aku untuk memilih untuk memaafkan sesiapa? Tetapi harus diingat. Manusia mungkin memaafkan kita, tetapi mustahil mereka dapat melupakan kesemuanya. Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata? Buruk padahnya. Jadi elakkan dari melakukan kesalahan itu.

Post ini tidak ditujukan kepada mana-mana insan secara khususnya. Namun ianya menjadi pesanan kepadaku dan siapapun yang membaca post ini.


No comments: