Wednesday, December 26, 2012

Untitled

Pernah suatu ketika, aku rasakan tulisan di atas kertas itu, kata-kata dari buku itu, dan perkataan di skrin laptop itu semuanya mampu menjana kegembiraan aku. Ya, pernah suatu ketika. Bukan lagi sekarang. Kini aku lihat semua itu tidak lagi begitu bermakna seperti dulu. Semua itu hanyalah kata-kata, tulisan dan luahan manusia.

Benar, semua itu ilhamnya dari yang Maha Esa. Namun yang masih membelenggu fikiranku adalah, apa sangat dengan kata-kata manusia ini jika mampu memanipulasikan segala yang diluahkan tadi? Janji-janji semuanya manis saat sesuai dengan diri.

Saat dirasakan menyusahkan, manusia ini melepaskan saja. Mengabaikan sesuatu yang pada awalnya dikira sebagai sesuatu amanah yang telah diberikan oleh diri sendiri tatkala kata-kata itu terbit dari mulut. Bukan aku tidak lagi melihat semua itu. Ya, aku lihat, aku baca, dan aku analisis. Tetapi nikmatnya sudah tidak lagi sama. Ini bebelanku, hanyalah mukadimah sebenarnya.

Pernah sekali aku terbaca, setiap yang bermula, pasti berakhir. Bidayah (بداية) bermaksud permulaan, dan Nihayah (نهايات) bermaksud pengakhiran. Segalanya di bumi ini ada bidayah dan nihayahnya sendiri, jika ianya bermula, akan berakhir melainkan Allah S.W.T. pencipta alam kerana Allah S.W.T itu sifatnya Al-Qadim, tiada permulaan dan pengakhiran.

Kita boleh mulakan apa-apa sahaja, tetapi, jika takdirnya akan berakhir, dengan kuasa Allah S.W.T. pasti akan berakhir. Jadi jika ada sesuatu yang berakhir dalam hidup kita, janganlah persoalkan sehingga mempersoalkan kekuasaan yang Maha Esa. Sesungguhnya sudah dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran,

"Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan" - Ar-Rahman Ayat 26-27
"Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah." - Al Qasas Ayat 88

Jadi setiap yang berlaku yang kita kira sebagai dugaan seperti kematian, atau pengakhiran sesuatu, seharusnya diredhai oleh kita. Kita ambil pengajaran darinya dan terus menghadapi masa depan. Bagi apa-apa musibah yang kita terima, yakinlah dengan Allah, kerana terdapat hadith di mana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidaklah ada suatu musibah yang menimpa seorang muslim melainkan Allah akan menghapuskan dosa dengannya walaupun duri yang menusuk badannya.”  - Imam al-Bukhari dan Muslim

 Kemampuan kita untuk menghadapi segala dugaan yang maha Esa juga telah dijanjikan oleh Allah S.W.T yang bersifat as-Sidiq dalam surah Al- Baqarah Ayat 286, "Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…".


Jadi sentiasalah berusaha dan yakin pada Allah. Sesungguhnya hanya padaNya kita mampu mengharap kepada.


Tuesday, July 17, 2012

Gadis yang merenung itu.


Kau nampak gadis itu yang sedang merenung jauh itu? Andai kata kau tanya dia tentang masalah yang dihadapinya sudah tentu dia akan berkata, "Tiada apa", tetapi pada realitinya, semuanya menjadi masalah kepadanya. Dia sedang duduk bingung memikirkan, apakah kesalahan yang dirinya telah melakukan? Jika ada peluang kedua, adakah perkara yang dilakukannya akan menjadi lain? Adakah dirinya akan mengubah takdir yang menimpa? Adakah penghujung ceritanya akan sama atau lain? Itulah sebabnya dia merenung.

Wednesday, June 27, 2012

Petang itu.




Tersedar aku dari tidur diiringi bunyi dentuman petir yang kuat diikuti dengan kilat sabung menyabung.

Mataku masih enggan terbuka sepenuhnya. Aku mengagahkan diri mengintip di luar jendela. Ternyata alam
menghembus udara nyaman beriringkan hujan. Namun hakikatnya, suram keadaannya.


Bila difikirkan semula, petang ini seolah olah memerli aku. Dapat kurasakan kehadiran cuacanya yang kelam mendampingi hatiku yang semakin sayu memikirkan hal duniawi.


"Ayat jiwang :)", balas seorang insan bernama Razura Samsuddin. Agaknya beliau memerhati kelibatku di laman coretan hatiku.


"Niatnya menceriakan hati berlara :)", balasku.


R (Razura): baguslahhh :) kenapa lara ni ? gaduh dgn bakal istri ehh ?


A (Diriku): di usia senja ini, kerap aku utarakan soalan dimana jawapannya tidak pernah hadir. :) kebingungan kerap mendukakan diri.


R: alalah~ jgn lah mcm tuhh. 1 hri nnti. semunya akn terjawap :) sekarang ni,semuanya msh lagi rhsiaa :)


A: seringkali rahsia alam sebegitu. Menunggu saat sesuai menghadirkan diri. InsyaAllah akan terjawab segala persoalan dalam diri.


R: insyaAllah,amin~ semoga yg terbaik itu milik kita semua. semoga dapat jodoh yg baik and cinta yg berkekalan smpai syurga. :)


Entah mengapa, tetapi aku rasakan dialog ini membuatkanku lebih bersemangat meneruskan perjuangan. Terima kasih saudari. :)


Saturday, June 23, 2012

Pengakhiran sesi kuliah.

Pagi itu, aku cukup resah.

Malam semalam aku tak mampu memberi konsentrasi terhadap buku contract di hadapanku. Mungkin kerana terlalu kekenyangan selepas menikmati juadah yang dihidangkan di Restoran Masakan Cina itu. Memikirkan tentangnya sahaja membuatkan perutku berkeroncong.

"Kau rehatlah dulu, esok pagi kau boleh mengulang kaji subjek itu", kata hatiku.

Lantas aku membenamkan mukaku ke bantal. Selepas beberapa minit mencari kedudukan di atas katil yang paling selesa, aku terlelap.

Pagi menjelma dengan memberi pengharapan kepada mereka yang inginkan kemajuan dalam hidup. Sesungguhnya semua diberi peluang untuk berjaya pada tiap-tiap hari. Tetapi hanya beberapa orang sahaja yang menyahut cabaran itu.

Aku ke kelas kuliah awal pagi itu. Aku duduk di belakang memerhatikan setiap gerak geri manusia bergelar mahasiswa yang memasuki ruang menuntut ilmu itu. Hari ini ada kuiz yang akan bakal berlangsung. Kata mereka 25 soalan objektif semuanya. Namun, aku tidaklah begitu tertarik dengan itu. Aku tertarik dengan kelas itu. Kerana inilah kelas terakhir untuk semester ini.

Apakah dihujung kelas ini akan ada berlakunya apa-apa perbincangan? Ataukah seperti kebiasaan kesemuanya akan beredar seperti manusia yang hanya peduli akan hal ehwal peribadi mereka sendiri?

"Masa telah tamat", kata Madam Nadia.

Bermula pula sesi menanda kertas jawapan.

"Kau dapat berapa?", "Sikit je, kau?", "Weyh, aku tak study la weh". Ayat-ayat standard yang keluar dari bibir-bibir mereka.

Keluar sahaja madam, bermacam karenah dapat dilihat. Ada yang terus bergegas keluar. Ada yang seperti tidak ketahuan untuk berbuat apa. Ada yang tidak berganjak langsung. Aku adalah yang di antara golongan terakhir itu, kerana aku sedang memerhati situasi ini. Aku tahu bagi sesetengah orang, kelas ini hanyalah persinggahan. Di antara rumah dan peperiksaan akhir nanti. Kelas ini ibarat mereka hanyalah sebuah jasad tidak bernyawa. Tiada makna di dalamnya. Aku terus memerhati, sehingga kelas itu kosong. Aku pun beredar.

Seperti sangkaanku, sememangnya tiada apa bezanya kelas terakhir dengan kelas pertama dahulu. Walaupun ada juga perbezaan bagi sesetengah orang, sebagai satu unit yang diberi nama LW213 1A, keakraban itu sah-sah kurang menyerlah. Tetapi itu hanyalah berdasarkan pemerhatian aku, ini pula bebelan aku. Mungkin pandanganmu berbeza? Aku tak tahu. Yang penting, aku rasakan ini, aku luahkan ini. Penerimaan, itu hak masing-masing.


Thursday, June 21, 2012

Sayang.

Aku cuba elak dari fikir akan dirimu.
Bukan kerana tidak mahu meneruskan perhubungan ini.
Bukan kerana engkau tiada memberikan impak pada diriku.
Bukan kerana hati ini dimiliki orang lain.

Tetapi,

Kerana aku sayang kamu.
Kerana aku tak mahu bersedih dengan ketiadaanmu.
Kerana aku rindukanmu.


Wednesday, June 13, 2012

Selesa.

Apakah itu maksud selesa? Adakah ianya saat kau seharian berkerja bertungkus lumus dan pulang melihat katil yang begitu menggiurkan hati sehinggakan saat kau terbaring atasnya kau terasa nikmatnya sungguh seperti di syurga dunia? Atau adakah ianya saat kau bersama keluarga kamu dan merasakan hati cukup tenang?

Bagi aku, kedua-dua keadaan itu adalah selesa. Dan keadaan lagi satu yang membuat aku rasa selesa adalah berkenalan dengan orang yang aku rasakan cukup senang hati bila bersama.




Entah mengapa, tetapi walaupun kita hanya berkenal pada semester ini, aku rasakan seperti ada sesuatu tarikan lain yang menyimpulkan kita semua bersama. Moga persahabatan kita kekal ke akhir waktu.

Tuesday, June 12, 2012

Si Dia.

"Kenapa hubungan korang macam ni? Sedangkan aku lihat orang lain selalu bergayut di telefon"

Aku tahu hubungan aku dan dia unik. Tapi, itulah, sememangnya hubungan kami menjadi begini. Bukan atas dasar keterpaksaan tetapi, kerana saling memahami akan tanggungjawab masing-masing. Pada saat ini, aku rasakan toleransi memainkan peranan penting dalam relationship kami.

Andai kata, salah seorang dari kami tidak mampu meneruskan perjuangan ini, aku doakan keredhaan dari kedua belah pihak. Rasanya tidak perlu dipersoalkan rasa cinta dalam hubungan ini. Sudah jelas bahawa ianya wujud, namun rasanya pula berubah mengikur peredaran masa. Adakah ini bermaksud hubungan kami semakin rapat atau jauh?

Aku serahkan semua itu pada takdir. Sesungguhnya setiap perkara yang berlaku pasti ada sebab serta hikmahnya. Yang aku pasti kini, hatiku masih lagi padanya. Keinginanku untuk bertemu dengannya masih lagi membara.

Mana mungkin aku tidak sayang pada seseorang yang sanggup mengharungi dugaan yang datang bertalu talu. Mana mungkin aku lupakan gelak tawa yang kita kongsi bersama pada malam-malam yang hening. Kau dan aku, bahagia. Tetapi andai kata ada yang lebih baik untukmu, aku redha akan pemergianmu.

Aku sayang Si Dia.


Sunday, June 10, 2012

Berubah.




"Kau dah berubah Arif. Tak macam yang aku kenal"

Bukannya aku tak sedar. Cuma, terkilan apabila kau yang menegur. Aku tak tahu sejauh mana kebenaran dua ayat di atas itu, namun aku rasa seperti itu cukup membuktikan kata hatiku selama ini. Orang lain pun pernah mengucapkannya, tetapi bila kau sendiri yang meluahkan, rasanya lain, sangat lain. Sebabnya kau dan aku memang mengenali diri masing-masing. Walaupun tidaklah seperti teman karib yang sentiasa berdampingan, namun cukup rapat untuk aku menyimpulkan kata-kata kau bukanlah sembarangan. 

Aku cuba menahan rasa ingin tahu aku. Aku cuba menyembunyikan pelbagai persoalan yang mula bermain difikiran. Aku cuba elak menzahirkan yang batin. Apakah perubahan ini sangat drastik dan menganggu? Tetapi aku pasti ini, mana mungkin kau menegur perubahan aku, seandainya ianya perubahan yang baik.

Astargfirullahalazim. Ya Allah. Adakah aku melebihkan sesuatu yang tidak wajar diberikan perhatian sebegini? Sesungguhnya aku hanyalah insan yang lemah. Masih terkial-kial dalam mencari jalan untuk sebuah kehidupan yang diredhaiMu Ya Allah. :'(

Inilah aku, dalam usaha menelan setiap butir kepahitan yang hadir. Memunasabahkan diri demi membentuk jiwa yang lebih tenang dan matang dalam menghadapi cabaran hidup. Ikutkan hati banyak lagi yang menganggu hati ini, tapi mustahil aku mampu meluahkan segalanya dengan adanya kesibukan yang melanda diri pada saat ini.

Yang aku pasti, sahabat, jika kau membaca ini, tolonglah aku, bantulah aku. Seandainya kau rasakan aku masih lagi bergelar kawan kepada dirimu, berikanlah teguran, apakah perubahan aku itu. Sesungguhnya firman Allah berbunyi:

"Berilah peringatan kerana peringatan itu bermakna" (Al-A'la Ayat 9)

Seandainya kau rasa perubahan yang aku lakukan bukan terbaik untuk diriku, jangan segan menegur.

Wallahua'lam. Assalamualaikum.



Wednesday, April 4, 2012

Fikir.

Apakah itu fikir?

Kau sedang memikirkan tentangnya bukan?

Kelakar. Fikir akan maksud fikir.

Kita lakukannya pada setiap hari, malah aku berani kata setiap waktu. Jika tidak mana mungkin kita dapat berdikari. Jika tidak mana mungkin kau dapat lakukan apa kau mahu.

Pernah kau terfikir sekiranya nikmat akal fikiran itu ditarik dari kau sebentar apa akan terjadi? Pernah lihat orang tidak siuman? Yang tidak dapat mengawal dirinya? Itulah. Kalau kita hilang kuasa untuk berfikir dan bertindak mengikut fikiran. Sesungguhnya nikmat fikir ini penting.

Tak pernah aku jumpa individu di mana aku bertanya dia memikirkan tentang apa, dan dia menjawab, tiada apa apa tanpa ada sesuatu di dalam minda. Sedangkan pada waktu itu, hanya Allah tahu apa mereka fikirkan. Kita semua ada suara dalam otak yang bercakap, memberi personaliti kepada minda kita, yang memberikan kata putus untuk membuat satu-satu keputusan. Pendek kata, kita semua berfikir, semua ada akal. Bezanya, apakah yang difikirkan? Fikiran kau dan aku, siapakah mempunyai topik dalam minda yang lebih mustahak? Aku fikir akan keadaan negara yang tak stabil, kau fikirkan apakah yang kau akan makan sebentar lagi. Tapi, pada penghujung hari, apakah pemikiran kita akan memberi impak kepada sesiapa jika fikiran itu hanya fikiran? Tiada usaha untuk mengerjakan apa yang di minda. Bukankah pada penghujung hari itu, dari segi pembangunan diri, lebih kurang sahaja walaupun pada pemikiran kita lain? Ah, aku mula membebel. Sebenarnya apa aku cakap ini, semuanya dalam bahasa inggeris, cuma aku taip dalam Bahasa Melayu. Bukan kerana apa, tetapi atas dasar sudah selesa begini.

What I think won't effect you. Unless I tell you, in that situation then it might just change your principles. But, the journey from the mind to the mouth is a strange one. In your mind it says A, but through your mouth it might come out as Z.

Seperti nama blog aku, semua ini hanya bebelan saja. Segalanya dalam minda dan diluahkan.

Tuesday, March 20, 2012

Hidup berterusan.

Hidup ini berterusan, tak kira kau mahukan ianya terhenti seketika atau tidak.

Masa sentiasa akan berlalu, setiap detik. "Tick, tick, tick", tanpa menghiraukan engkau siapa.

Hidup ini berterusan, tak kira kau berperangai malaikat atau dilakhnat seperti syaitan.

Masa sentiasa akan berlalu, setiap kali kau menitiskan air mata atau tersenyum kerana geli hati.

Tetapi, ingat, bukannya itu kita perlu lihat, yang menjadi keutamaan adalah apa yang kita mahukan pada akhir waktu. Pada waktu segalanya kekal. Di mana masa benar-benar terhenti. Masa itu, segala yang terjadi di bumi ini, akan dipertontonkan, dan persoalannya, adakah kita akan menyesal ke atas segala perbuatan kita?

Di dunia, kita boleh lari dari hukuman mencuri, mengata, mangambil rasuah, dan sebagainya. Baru-baru ini, aku terdengar rakan aku menceritakan tentang kewujudan kes yang begitu membuat aku resah. Bukan kerana ianya menganggu hak aku, tetapi kerana ianya merampas hak orang lain. Tetapi aku yakin, setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Wallahualam.


Sunday, March 18, 2012

Wujud atau hidup?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Setiap kali sesebuah blog itu menyepi dan secara ajaibnya timbul kembali, pasti akan ada upacara meminta maaf di awal post. Sesungguhnya, aku tidak berasa perkara itu perlu. Kerana blog itu adalah luahan hati seseorang untuk ditujukan kepada individu, masyarakat, dan sesiapapun sekiranya ia boleh diakses semua orang. Baiklah, kita mulakan dengan post ini.

Alhamdulillah. Aku berjaya melanjutkan pelajaran di UiTM Shah Alam dalam bidang yang sememangnya aku minati dari dahulu, iaitu, BLS (Bachelor of Legal Studies). Isnin akan datang ini akan menandakan minggu ketiga aku di sini. Tetapi, aku tidak mahu menceritakan tentang itu, aku mahu menceritakan tentang sesuatu yang membuatku agak tertarik.

Pasti menjadi kebiasaan, masuk sahaja ke tempat baru, mesti ada sesi awal di mana kita mula biasakan diri dengan semua orang. Mengenali satu sama lain. Tetapi bagaimana jika masuk sahaja di sesuatu tempat, puak-puak itu sudahpun diwujudkan? Di BLS ini, terdapat beberapa jenis kemasukan. Tetapi yang aku ingin mengetengahkan di sini adalah dua puak terbesar iaitu, dari Asasi UiTM Kuantan dan UiTM Kedah.

Mungkin sesetengah orang akan kata, "Alah, awal-awal memanglah tak masuk. Nanti okaylah!". Aku tak nafikan, aku yakin satu hari dua puak ini akan berbaik. Cuma fasa ini, iaitu fasa janggal dimana ketidakbiasaan dari segi penggunaan loghat dan budaya mengambil alih dan memisahkan kedua belah pihak.

Kau lihat aku, aku lihat kau. Perhati sama perhati.

Kita berasa tidak senang pada awal-awal ini. Jujur aku cakap. Aku tidak selesa dengan waktu sekarang. Persoalan siapa lebih baik dari siapa kadang kala mengenggam pemikiranku. Mereka cuba menunjuk dalam kelas? Entah. Ataukah aku yang paranoid terlebih. Memikirkan yang bukan-bukan. Entah! Apakah yang mereka bicarakan? Rajin betul berbincang tentang hal-hal pelajaran sedangkan baru seminggu dua kelas bermula. Sedangkan aku masih merangkak memahami setiap satu butiran pelajaran yang diajarkan oleh pensyarah di hadapan.

Aku persoalkan juga kadang kala. Di Kuantan bukan kemain lagi aku bersemangat menjawab soalan pensyarah. Tetapi sekarang, terduduk, diam membisu. Terasa seperti aku wujud, tetapi tidak hidup. Tidak bersuara. Seperti tunggul kayu yang wujud atas sungai dan bergerak mengikut arus tetapi tidak memberikan apa-apa manfaat kepada orang lain.

Ah, pedulikan. Baru seminggu dua. Kita tunggu dan lihat minggu akan datang. Sehingga masa akan datang.