Tuesday, March 20, 2012

Hidup berterusan.

Hidup ini berterusan, tak kira kau mahukan ianya terhenti seketika atau tidak.

Masa sentiasa akan berlalu, setiap detik. "Tick, tick, tick", tanpa menghiraukan engkau siapa.

Hidup ini berterusan, tak kira kau berperangai malaikat atau dilakhnat seperti syaitan.

Masa sentiasa akan berlalu, setiap kali kau menitiskan air mata atau tersenyum kerana geli hati.

Tetapi, ingat, bukannya itu kita perlu lihat, yang menjadi keutamaan adalah apa yang kita mahukan pada akhir waktu. Pada waktu segalanya kekal. Di mana masa benar-benar terhenti. Masa itu, segala yang terjadi di bumi ini, akan dipertontonkan, dan persoalannya, adakah kita akan menyesal ke atas segala perbuatan kita?

Di dunia, kita boleh lari dari hukuman mencuri, mengata, mangambil rasuah, dan sebagainya. Baru-baru ini, aku terdengar rakan aku menceritakan tentang kewujudan kes yang begitu membuat aku resah. Bukan kerana ianya menganggu hak aku, tetapi kerana ianya merampas hak orang lain. Tetapi aku yakin, setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Wallahualam.


Sunday, March 18, 2012

Wujud atau hidup?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Setiap kali sesebuah blog itu menyepi dan secara ajaibnya timbul kembali, pasti akan ada upacara meminta maaf di awal post. Sesungguhnya, aku tidak berasa perkara itu perlu. Kerana blog itu adalah luahan hati seseorang untuk ditujukan kepada individu, masyarakat, dan sesiapapun sekiranya ia boleh diakses semua orang. Baiklah, kita mulakan dengan post ini.

Alhamdulillah. Aku berjaya melanjutkan pelajaran di UiTM Shah Alam dalam bidang yang sememangnya aku minati dari dahulu, iaitu, BLS (Bachelor of Legal Studies). Isnin akan datang ini akan menandakan minggu ketiga aku di sini. Tetapi, aku tidak mahu menceritakan tentang itu, aku mahu menceritakan tentang sesuatu yang membuatku agak tertarik.

Pasti menjadi kebiasaan, masuk sahaja ke tempat baru, mesti ada sesi awal di mana kita mula biasakan diri dengan semua orang. Mengenali satu sama lain. Tetapi bagaimana jika masuk sahaja di sesuatu tempat, puak-puak itu sudahpun diwujudkan? Di BLS ini, terdapat beberapa jenis kemasukan. Tetapi yang aku ingin mengetengahkan di sini adalah dua puak terbesar iaitu, dari Asasi UiTM Kuantan dan UiTM Kedah.

Mungkin sesetengah orang akan kata, "Alah, awal-awal memanglah tak masuk. Nanti okaylah!". Aku tak nafikan, aku yakin satu hari dua puak ini akan berbaik. Cuma fasa ini, iaitu fasa janggal dimana ketidakbiasaan dari segi penggunaan loghat dan budaya mengambil alih dan memisahkan kedua belah pihak.

Kau lihat aku, aku lihat kau. Perhati sama perhati.

Kita berasa tidak senang pada awal-awal ini. Jujur aku cakap. Aku tidak selesa dengan waktu sekarang. Persoalan siapa lebih baik dari siapa kadang kala mengenggam pemikiranku. Mereka cuba menunjuk dalam kelas? Entah. Ataukah aku yang paranoid terlebih. Memikirkan yang bukan-bukan. Entah! Apakah yang mereka bicarakan? Rajin betul berbincang tentang hal-hal pelajaran sedangkan baru seminggu dua kelas bermula. Sedangkan aku masih merangkak memahami setiap satu butiran pelajaran yang diajarkan oleh pensyarah di hadapan.

Aku persoalkan juga kadang kala. Di Kuantan bukan kemain lagi aku bersemangat menjawab soalan pensyarah. Tetapi sekarang, terduduk, diam membisu. Terasa seperti aku wujud, tetapi tidak hidup. Tidak bersuara. Seperti tunggul kayu yang wujud atas sungai dan bergerak mengikut arus tetapi tidak memberikan apa-apa manfaat kepada orang lain.

Ah, pedulikan. Baru seminggu dua. Kita tunggu dan lihat minggu akan datang. Sehingga masa akan datang.