Wednesday, June 27, 2012

Petang itu.




Tersedar aku dari tidur diiringi bunyi dentuman petir yang kuat diikuti dengan kilat sabung menyabung.

Mataku masih enggan terbuka sepenuhnya. Aku mengagahkan diri mengintip di luar jendela. Ternyata alam
menghembus udara nyaman beriringkan hujan. Namun hakikatnya, suram keadaannya.


Bila difikirkan semula, petang ini seolah olah memerli aku. Dapat kurasakan kehadiran cuacanya yang kelam mendampingi hatiku yang semakin sayu memikirkan hal duniawi.


"Ayat jiwang :)", balas seorang insan bernama Razura Samsuddin. Agaknya beliau memerhati kelibatku di laman coretan hatiku.


"Niatnya menceriakan hati berlara :)", balasku.


R (Razura): baguslahhh :) kenapa lara ni ? gaduh dgn bakal istri ehh ?


A (Diriku): di usia senja ini, kerap aku utarakan soalan dimana jawapannya tidak pernah hadir. :) kebingungan kerap mendukakan diri.


R: alalah~ jgn lah mcm tuhh. 1 hri nnti. semunya akn terjawap :) sekarang ni,semuanya msh lagi rhsiaa :)


A: seringkali rahsia alam sebegitu. Menunggu saat sesuai menghadirkan diri. InsyaAllah akan terjawab segala persoalan dalam diri.


R: insyaAllah,amin~ semoga yg terbaik itu milik kita semua. semoga dapat jodoh yg baik and cinta yg berkekalan smpai syurga. :)


Entah mengapa, tetapi aku rasakan dialog ini membuatkanku lebih bersemangat meneruskan perjuangan. Terima kasih saudari. :)


Saturday, June 23, 2012

Pengakhiran sesi kuliah.

Pagi itu, aku cukup resah.

Malam semalam aku tak mampu memberi konsentrasi terhadap buku contract di hadapanku. Mungkin kerana terlalu kekenyangan selepas menikmati juadah yang dihidangkan di Restoran Masakan Cina itu. Memikirkan tentangnya sahaja membuatkan perutku berkeroncong.

"Kau rehatlah dulu, esok pagi kau boleh mengulang kaji subjek itu", kata hatiku.

Lantas aku membenamkan mukaku ke bantal. Selepas beberapa minit mencari kedudukan di atas katil yang paling selesa, aku terlelap.

Pagi menjelma dengan memberi pengharapan kepada mereka yang inginkan kemajuan dalam hidup. Sesungguhnya semua diberi peluang untuk berjaya pada tiap-tiap hari. Tetapi hanya beberapa orang sahaja yang menyahut cabaran itu.

Aku ke kelas kuliah awal pagi itu. Aku duduk di belakang memerhatikan setiap gerak geri manusia bergelar mahasiswa yang memasuki ruang menuntut ilmu itu. Hari ini ada kuiz yang akan bakal berlangsung. Kata mereka 25 soalan objektif semuanya. Namun, aku tidaklah begitu tertarik dengan itu. Aku tertarik dengan kelas itu. Kerana inilah kelas terakhir untuk semester ini.

Apakah dihujung kelas ini akan ada berlakunya apa-apa perbincangan? Ataukah seperti kebiasaan kesemuanya akan beredar seperti manusia yang hanya peduli akan hal ehwal peribadi mereka sendiri?

"Masa telah tamat", kata Madam Nadia.

Bermula pula sesi menanda kertas jawapan.

"Kau dapat berapa?", "Sikit je, kau?", "Weyh, aku tak study la weh". Ayat-ayat standard yang keluar dari bibir-bibir mereka.

Keluar sahaja madam, bermacam karenah dapat dilihat. Ada yang terus bergegas keluar. Ada yang seperti tidak ketahuan untuk berbuat apa. Ada yang tidak berganjak langsung. Aku adalah yang di antara golongan terakhir itu, kerana aku sedang memerhati situasi ini. Aku tahu bagi sesetengah orang, kelas ini hanyalah persinggahan. Di antara rumah dan peperiksaan akhir nanti. Kelas ini ibarat mereka hanyalah sebuah jasad tidak bernyawa. Tiada makna di dalamnya. Aku terus memerhati, sehingga kelas itu kosong. Aku pun beredar.

Seperti sangkaanku, sememangnya tiada apa bezanya kelas terakhir dengan kelas pertama dahulu. Walaupun ada juga perbezaan bagi sesetengah orang, sebagai satu unit yang diberi nama LW213 1A, keakraban itu sah-sah kurang menyerlah. Tetapi itu hanyalah berdasarkan pemerhatian aku, ini pula bebelan aku. Mungkin pandanganmu berbeza? Aku tak tahu. Yang penting, aku rasakan ini, aku luahkan ini. Penerimaan, itu hak masing-masing.


Thursday, June 21, 2012

Sayang.

Aku cuba elak dari fikir akan dirimu.
Bukan kerana tidak mahu meneruskan perhubungan ini.
Bukan kerana engkau tiada memberikan impak pada diriku.
Bukan kerana hati ini dimiliki orang lain.

Tetapi,

Kerana aku sayang kamu.
Kerana aku tak mahu bersedih dengan ketiadaanmu.
Kerana aku rindukanmu.


Wednesday, June 13, 2012

Selesa.

Apakah itu maksud selesa? Adakah ianya saat kau seharian berkerja bertungkus lumus dan pulang melihat katil yang begitu menggiurkan hati sehinggakan saat kau terbaring atasnya kau terasa nikmatnya sungguh seperti di syurga dunia? Atau adakah ianya saat kau bersama keluarga kamu dan merasakan hati cukup tenang?

Bagi aku, kedua-dua keadaan itu adalah selesa. Dan keadaan lagi satu yang membuat aku rasa selesa adalah berkenalan dengan orang yang aku rasakan cukup senang hati bila bersama.




Entah mengapa, tetapi walaupun kita hanya berkenal pada semester ini, aku rasakan seperti ada sesuatu tarikan lain yang menyimpulkan kita semua bersama. Moga persahabatan kita kekal ke akhir waktu.

Tuesday, June 12, 2012

Si Dia.

"Kenapa hubungan korang macam ni? Sedangkan aku lihat orang lain selalu bergayut di telefon"

Aku tahu hubungan aku dan dia unik. Tapi, itulah, sememangnya hubungan kami menjadi begini. Bukan atas dasar keterpaksaan tetapi, kerana saling memahami akan tanggungjawab masing-masing. Pada saat ini, aku rasakan toleransi memainkan peranan penting dalam relationship kami.

Andai kata, salah seorang dari kami tidak mampu meneruskan perjuangan ini, aku doakan keredhaan dari kedua belah pihak. Rasanya tidak perlu dipersoalkan rasa cinta dalam hubungan ini. Sudah jelas bahawa ianya wujud, namun rasanya pula berubah mengikur peredaran masa. Adakah ini bermaksud hubungan kami semakin rapat atau jauh?

Aku serahkan semua itu pada takdir. Sesungguhnya setiap perkara yang berlaku pasti ada sebab serta hikmahnya. Yang aku pasti kini, hatiku masih lagi padanya. Keinginanku untuk bertemu dengannya masih lagi membara.

Mana mungkin aku tidak sayang pada seseorang yang sanggup mengharungi dugaan yang datang bertalu talu. Mana mungkin aku lupakan gelak tawa yang kita kongsi bersama pada malam-malam yang hening. Kau dan aku, bahagia. Tetapi andai kata ada yang lebih baik untukmu, aku redha akan pemergianmu.

Aku sayang Si Dia.


Sunday, June 10, 2012

Berubah.




"Kau dah berubah Arif. Tak macam yang aku kenal"

Bukannya aku tak sedar. Cuma, terkilan apabila kau yang menegur. Aku tak tahu sejauh mana kebenaran dua ayat di atas itu, namun aku rasa seperti itu cukup membuktikan kata hatiku selama ini. Orang lain pun pernah mengucapkannya, tetapi bila kau sendiri yang meluahkan, rasanya lain, sangat lain. Sebabnya kau dan aku memang mengenali diri masing-masing. Walaupun tidaklah seperti teman karib yang sentiasa berdampingan, namun cukup rapat untuk aku menyimpulkan kata-kata kau bukanlah sembarangan. 

Aku cuba menahan rasa ingin tahu aku. Aku cuba menyembunyikan pelbagai persoalan yang mula bermain difikiran. Aku cuba elak menzahirkan yang batin. Apakah perubahan ini sangat drastik dan menganggu? Tetapi aku pasti ini, mana mungkin kau menegur perubahan aku, seandainya ianya perubahan yang baik.

Astargfirullahalazim. Ya Allah. Adakah aku melebihkan sesuatu yang tidak wajar diberikan perhatian sebegini? Sesungguhnya aku hanyalah insan yang lemah. Masih terkial-kial dalam mencari jalan untuk sebuah kehidupan yang diredhaiMu Ya Allah. :'(

Inilah aku, dalam usaha menelan setiap butir kepahitan yang hadir. Memunasabahkan diri demi membentuk jiwa yang lebih tenang dan matang dalam menghadapi cabaran hidup. Ikutkan hati banyak lagi yang menganggu hati ini, tapi mustahil aku mampu meluahkan segalanya dengan adanya kesibukan yang melanda diri pada saat ini.

Yang aku pasti, sahabat, jika kau membaca ini, tolonglah aku, bantulah aku. Seandainya kau rasakan aku masih lagi bergelar kawan kepada dirimu, berikanlah teguran, apakah perubahan aku itu. Sesungguhnya firman Allah berbunyi:

"Berilah peringatan kerana peringatan itu bermakna" (Al-A'la Ayat 9)

Seandainya kau rasa perubahan yang aku lakukan bukan terbaik untuk diriku, jangan segan menegur.

Wallahua'lam. Assalamualaikum.