Sunday, June 10, 2012

Berubah.




"Kau dah berubah Arif. Tak macam yang aku kenal"

Bukannya aku tak sedar. Cuma, terkilan apabila kau yang menegur. Aku tak tahu sejauh mana kebenaran dua ayat di atas itu, namun aku rasa seperti itu cukup membuktikan kata hatiku selama ini. Orang lain pun pernah mengucapkannya, tetapi bila kau sendiri yang meluahkan, rasanya lain, sangat lain. Sebabnya kau dan aku memang mengenali diri masing-masing. Walaupun tidaklah seperti teman karib yang sentiasa berdampingan, namun cukup rapat untuk aku menyimpulkan kata-kata kau bukanlah sembarangan. 

Aku cuba menahan rasa ingin tahu aku. Aku cuba menyembunyikan pelbagai persoalan yang mula bermain difikiran. Aku cuba elak menzahirkan yang batin. Apakah perubahan ini sangat drastik dan menganggu? Tetapi aku pasti ini, mana mungkin kau menegur perubahan aku, seandainya ianya perubahan yang baik.

Astargfirullahalazim. Ya Allah. Adakah aku melebihkan sesuatu yang tidak wajar diberikan perhatian sebegini? Sesungguhnya aku hanyalah insan yang lemah. Masih terkial-kial dalam mencari jalan untuk sebuah kehidupan yang diredhaiMu Ya Allah. :'(

Inilah aku, dalam usaha menelan setiap butir kepahitan yang hadir. Memunasabahkan diri demi membentuk jiwa yang lebih tenang dan matang dalam menghadapi cabaran hidup. Ikutkan hati banyak lagi yang menganggu hati ini, tapi mustahil aku mampu meluahkan segalanya dengan adanya kesibukan yang melanda diri pada saat ini.

Yang aku pasti, sahabat, jika kau membaca ini, tolonglah aku, bantulah aku. Seandainya kau rasakan aku masih lagi bergelar kawan kepada dirimu, berikanlah teguran, apakah perubahan aku itu. Sesungguhnya firman Allah berbunyi:

"Berilah peringatan kerana peringatan itu bermakna" (Al-A'la Ayat 9)

Seandainya kau rasa perubahan yang aku lakukan bukan terbaik untuk diriku, jangan segan menegur.

Wallahua'lam. Assalamualaikum.



No comments: