Saturday, June 23, 2012

Pengakhiran sesi kuliah.

Pagi itu, aku cukup resah.

Malam semalam aku tak mampu memberi konsentrasi terhadap buku contract di hadapanku. Mungkin kerana terlalu kekenyangan selepas menikmati juadah yang dihidangkan di Restoran Masakan Cina itu. Memikirkan tentangnya sahaja membuatkan perutku berkeroncong.

"Kau rehatlah dulu, esok pagi kau boleh mengulang kaji subjek itu", kata hatiku.

Lantas aku membenamkan mukaku ke bantal. Selepas beberapa minit mencari kedudukan di atas katil yang paling selesa, aku terlelap.

Pagi menjelma dengan memberi pengharapan kepada mereka yang inginkan kemajuan dalam hidup. Sesungguhnya semua diberi peluang untuk berjaya pada tiap-tiap hari. Tetapi hanya beberapa orang sahaja yang menyahut cabaran itu.

Aku ke kelas kuliah awal pagi itu. Aku duduk di belakang memerhatikan setiap gerak geri manusia bergelar mahasiswa yang memasuki ruang menuntut ilmu itu. Hari ini ada kuiz yang akan bakal berlangsung. Kata mereka 25 soalan objektif semuanya. Namun, aku tidaklah begitu tertarik dengan itu. Aku tertarik dengan kelas itu. Kerana inilah kelas terakhir untuk semester ini.

Apakah dihujung kelas ini akan ada berlakunya apa-apa perbincangan? Ataukah seperti kebiasaan kesemuanya akan beredar seperti manusia yang hanya peduli akan hal ehwal peribadi mereka sendiri?

"Masa telah tamat", kata Madam Nadia.

Bermula pula sesi menanda kertas jawapan.

"Kau dapat berapa?", "Sikit je, kau?", "Weyh, aku tak study la weh". Ayat-ayat standard yang keluar dari bibir-bibir mereka.

Keluar sahaja madam, bermacam karenah dapat dilihat. Ada yang terus bergegas keluar. Ada yang seperti tidak ketahuan untuk berbuat apa. Ada yang tidak berganjak langsung. Aku adalah yang di antara golongan terakhir itu, kerana aku sedang memerhati situasi ini. Aku tahu bagi sesetengah orang, kelas ini hanyalah persinggahan. Di antara rumah dan peperiksaan akhir nanti. Kelas ini ibarat mereka hanyalah sebuah jasad tidak bernyawa. Tiada makna di dalamnya. Aku terus memerhati, sehingga kelas itu kosong. Aku pun beredar.

Seperti sangkaanku, sememangnya tiada apa bezanya kelas terakhir dengan kelas pertama dahulu. Walaupun ada juga perbezaan bagi sesetengah orang, sebagai satu unit yang diberi nama LW213 1A, keakraban itu sah-sah kurang menyerlah. Tetapi itu hanyalah berdasarkan pemerhatian aku, ini pula bebelan aku. Mungkin pandanganmu berbeza? Aku tak tahu. Yang penting, aku rasakan ini, aku luahkan ini. Penerimaan, itu hak masing-masing.


No comments: